Thursday, March 27, 2008

PANDUAN ASAS MENGHANTAR SINOPSIS KE PTS ONE


Penulis yang berminat untuk menghantar karya ke PTS ONE mestilah terlebih dahulu menghantar sinopsis cerita dan contoh dua bab yang sudah lengkap ditulis. Editor akan menilai sama ada sinopsis yang dihantar itu bersesuaian dengan konsep PTS ONE.

Berikut adalah format menghantar karya ke PTS ONE:

Genre: Sebarang genre yang bersesuaian dengan konsep PTS ONE.
Sasaran umur pembaca: 10 hingga peringkat awal Universiti.
Format Sinopsis dan manuskrip:
Font: Times New Roman/ saiz 12
Perenggan: Double Spacing.
Bab: Ditulis pada setiap permulaan Bab.
Panjang Sinopsis: MINIMUM: 700 patah perkataan sehingga dalam lingkungan 1300 patah perkataan.

PENTING!

1. Penulis yang menghantar sinopsis ke PTS ONE selalu membuat satu kesilapan yang amat popular. Mereka mengakhiri sinopsis dengan ayat seperti contoh; "Bagaimana kesudahan cerita?" atau "Berjayakah Ali menumpaskan penjahat-penjahat itu," atau "Apakah misteri yang menyelubungi Pekan Tambun? Mengapakah orang-orang Tambun dijangkiti virus asing itu?".

Sinopsis yang dihantar mestilah lengkap ditulis keseluruhan jalan cerita termasuk penyudahnya (ending). Editor-editor PTS ONE mesti mengetahui kesudahan cerita yang hendak disampaikan bagi tujuan penilaian sesebuah manuskrip atau proposal. INGAT - Sinopsis yang dihantar untuk tujuan memenangi hati editor, bukan sinopsis untuk diletakkan di kulit belakang novel.

2. Sediakan sinopsis dengan pembahagian perenggan yang sesuai untuk memudahkan editor menyemak. Jangan tulis tiga muka sinopsis tanpa sebarang perenggan. Ini bakal membuatkan editor-editor kurang selesa dan kemungkinan terlepas pandang karya anda.

3. Sinopsis yang kurang dari 700 patah perkataan berkemungkinan besar akan ditolak. Ceritakan secara terperinci apa yang hendak anda ceritakan.